Kes Langgar SOP Neelofa & PU Riz Ditunda Sekali Lagi Atas Sebab Ini

“Mahkamah telah menangguhkan tarikh pengurusan kes ini pada 12 Ogos depan atas alasan PKPD masih dikuatkuasakan di Seremban,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan tarikh asal pengurusan kes Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau dikenali sebagai PU Riz itu, adalah pada 23 Jun, sebelum ditangguhkan kepada 15 Julai disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Foto/Sumber: Awani

Terdahulu Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB

SEREMBAN: Usahawan dan selebriti tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Noor Neelofa atau Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau dikenali sebagai PU Riz, 26, yang tiba di mahkamah pada 8.50 pagi, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haris, 26, gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Neelofa, 32 pula berdepan satu pertuduhan iaitu tidak membuat imbasan MySejahtera.

Kesalahan pasangan itu didakwa dilakukan pada 2 Mei lalu kira-kira jam 4 petang bertempat di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, No. 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan.

Berikutan itu kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

Pendakwaan dilakukan barisan Timbalan Pendakwa Raya (TPP) Ahmad Sazali Omar, TPP Nor Azizah Aling dan TPP Iznina Hanim Hashim, manakala Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Duratul Ain selaku peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Pendakwa memohon wang jaminan RM20,000 terhadap Muhammad Haris, manakala RM10,000 terhadap Neelofa.

Mahyun kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi Muhammad Haris untuk kedua-dua pertuduhan, manakala RM5,000 terhadap Neelofa dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes. Pasangan itu membayar wang jaminan.

Neelofa dan Muhammad Haris enggan ditemubual media.

Sementara itu, Mahadevan ketika ditemui media di pekarangan mahkamah berkata, jaminan perlu diberikan kerana ia membabitkan kes saman.

Beliau berkata, pertuduhan hanya membabitkan pelanggaran SOP dan tidak membabitkan isu rentas negeri.

“Kita hari ini hadir untuk tuduhan yang sedia ada dan sebutan semula kes pada 4 Jun nanti adalah untuk serahan dokumen berkaitan kes semasa ini.

“Kedua-dua mereka bersetuju untuk dibicarakan,” katanya.

Katanya, kedua-dua anak guamnya dalam keadaan yang baik dan tidak menghadapi sebarang masalah atau terganggu dengan pertuduhan hari ini.

Terdahulu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 27 Mac lalu, tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 8.55 pagi.

Pendakwaan terhadap Neelofa dan suami menarik perhatian dan mendapat liputan meluas media apabila kira-kira 30 petugas media daripada pelbagai agensi tiba seawal jam 7.30 pagi.

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei.

Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai karpet berkenaan.

Neelofa dan Muhammad Haris menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan netizen mempersoalkan bagaimana pasangan itu boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.

Isu itu mula menjadi perhatian selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai karpet.

NEELOFA dan suaminya, Muhammad Haris didakwa di Mahkaman Seremban atas dua pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021. NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut: